Saturday, 5 July 2014


PEKAN – Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) setakat ini telah membayar Bantuan Khas Kejatuhan Harga Getah sebanyak RM500 seorang kepada lebih 160,000 orang pekebun kecil getah yang terjejas ekoran kejatuhan harga getah di pasaran dunia.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata proses pembayaran itu dijangka selesai dalam masa dua minggu atau selewat-lewatnya sebelum sambutan Aidilfitri.

“Pemberian Bantuan Khas ini merupakan langkah segera yang telah diambil untuk meringankan beban kos sara hidup pekebun kecil getah dan penoreh yang terjejas akibat kejatuhan harga getah yang ketara pada masa ini,” katanya.

Beliu berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Dividen Risda yang turut dihadiri Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak di sini hari ini.

Turut hadir, isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor dan Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob.

Pada majlis itu Najib turut menyampaikan bantuan khas tersebut kepada kira-kira 30,000 pekebun kecil getah dan penoreh bukan pemilik yang terjejas di negeri Pahang.


Dalam pada itu Shafie berkata dalam usaha meningkatkan produktiviti pekebun getah, Risda menggalakkan pekebun getah memfokuskan Amalan Pertanian Yang Baik (GAP) kepada pekebun getah menerusi gerakan membaja, kempen penggunaan bahan rangsangan dan kempen penorehan yang betul.

“Menerusi amalan ini, produktiviti dapat ditingkatkan dan ini dapat mengimbangi pendapatan pekebun kecil walaupun harga getah menurun,” katanya.

Beliau juga turut mengingatkan kepada pekebun kecil agar tidak terpengaruh dengan tohmahan pihak pembangkang yang mendakwa pemberian bantuan itu hanya bersifat sementara.

“Kerajaan akan terus komited membantu para pekebun kecil getah tidak kira dalam waktu susah atau senang kerana kita menghargai usaha pekebun kecil ini yang merupakan penyumbang utama kepada peningkatan ekonomi masyarakat luar bandar,” katanya.

Sementara itu rata-rata penerima Bantuan Khas Akibat Kejatuhan Harga Getah kepada pekebun kecil dan penoreh bukan pemilik yang dibayar sekali sahaja sebanyak RM500 daripada kerajaan hari ini menarik nafas lega dengan bantuan yang diberikan.

Nariah Mohd, 56, dari Kampung Paya Bungor berkata dengan bantuan itu sedikit sebanyak dapat menampung perbelanjaan harian dan membuat persediaan menyambut perayaan Aidilfitri.

“Sejak harga getah jatuh, hidup saya sekeluarga agak susah, saya terpaksa mencari pendapatan sampingan dengan membuat kuih raya moden dan tradisional untuk menampung kos seharian.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada kerajaan dengan pemberian RM500 boleh lah saya buat simpanan sikit untuk menyambut Hari Raya nanti,” katanya kepada Bernama.

Bagi Mahat Awang Nama, 59, dari Kampung Belimbing, Pekan berkata buat pertama kalinya pada tahun ini beliau mendapat bantuan RM500 itu selepas kerajaan mengumumkan untuk turut memberikan bantuan tersebut kepada penoreh yang menoreh di tanah orang lain.

“Saya bersyukur tahun ini kerajaan tidak mengetepikan kami golongan yang menoreh di tanah milik orang lain. Jika tiada bantuan seperti ini mungkin sambutan Hari Raya tahun ini agak suram,” katanya yang mempunyai masalah pendengaran. – BERNAMA
Categories:

0 comments:

Post a Comment

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!