Friday, 25 July 2014



Bekas Pengarah Urusan Penerbangan Malaysia Airlines (MAS) Tan Sri Abdul Aziz Abdul Rahman mencadangkan syarikat penerbangan bermasalah itu mengambil alih AirAsia Bhd sebagai satu strategi bagi mengatasi krisis kewangannya dan kembali mencatat keuntungan dalam jangka panjang.

“Tidak perlu bergabung dengan AirAsia X. MAS yang sepatutnya membeli AirAsia dan jadikan anak syarikatnya. MAS sebagai syarikat penerbangan nasional yang perlu meneraju, bukan sebaliknya.

“MAS hanya perlu diurus dengan baik berdasarkan permintaan pasaran,” katanya di sini hari ini selepas muncul dalam program ‘Bernama Today’ di Bernama TV dan dihoskan Gerard Ratnam.

Abdul Aziz juga mencadangkan syarikat penerbangan nasional itu yang dimiliki 69 peratus oleh Khazanah Nasional Bhd, dinyahsenarai daripada pasaran saham.

“Nyahsenarai akan menjadikan kerja pengurusan lebih mudah kerana tidak perlu mengikut prosedur yang ditetapkan bursa. Tetapi mereka yang membeli saham MAS pada harga RM3 atau RM5 akan menjadi tidak gembira,” katanya.

Pengambilalihan akan membolehkan kumpulan yang digabungkan itu memberi tumpuan kepada pasaran tambang rendah yang meliputi 80 peratus di Asia Tenggara, di samping pasaran premium yang kompetitif, iaitu tindakan yang jauh lebih baik daripada bersaing di antara satu sama lain.


Cadangan untuk menyelamatkan MAS mendapat perhatian berikutan kerugian bersih syarikat itu dalam suku pertama berakhir 31 Mac 2014 meningkat kepada RM443.39 juta berbanding RM278.83 juta setahun lalu.
Bagaimanapun, syarikat penerbangan itu telah mewujudkan pelan pemulihan hingga ia digagalkan oleh kehilangan penerbangan MH370 pada Mac lalu dan ia menjadi semakin teruk apabila Penerbangan MH17 ditembak jatuh di timur Ukraine minggu lepas.

Saham MAS di Bursa Malaysia telah susut hampir 35 peratus tahun ini dan diniagakan 22 sen hari ini.-BERNAMA
Categories:

0 comments:

Post a Comment

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!