KUALA LUMPUR – Bekas pelajar Melbourne University, Elaine Teoh, dan teman lelakinya Emiel Mahler, yang terkorban dalam tragedi MH17 merupakan pasangan kekasih yang amat menghormati satu sama lain hingga ke akhir hayat mereka, kata rakan baik mereka Tan Sook Theng.
“Melihatnya begitu bahagia di alam percintaan membuat saya, sebagai seorang kawan, berasa sungguh bersyukur kerana nasib mempertemukan mereka dan alangkah baiknya jika semua orang mempunyai hubungan baik seperti yang terjalin antara mereka.
“Mereka menjadikan kehidupan satu sama lain begitu bahagia, sambil mempamerkan kebaikan masing-masing. Sesungguhnya, mereka saling melengkapi kehidupan satu sama lain,” katanya kepada Bernama melalui e-mel.
(Turut hangat dibaca – Mayat Mangsa MH17 Jatuh Dalam Rumah Penduduk Setempat – klik)
Tan, 27, yang berkawan rapat dengan Elaine sejak 13 tahun lepas, bercadang menjemput rakannya itu di Lapangan Terbang Antarabangsa KL (KLIA) pada 6.10 pagi hari berkenaan, sebelum mengetahui bahawa pesawat yang dinaiki pasangan itu terhempas di Ukraine.
“Kali terkahir kami berhubung melalui Whatsapp ialah pada hari dia menaiki pesawat berkenaan dan kami tidak sabar untuk bertemu kembali setelah berjumpa kali terakhir pada Januari tahun ini.
“Kami merancang mengisi hujung minggu ini bersama-sama dan selama ini, kami saling berhubung setiap minggu. Sekarang, tak ada lagi semua itu,” kata Tan dengan nada sedih.
Sambil menyifatkan Elaine sebagai seorang yang pintar, kelakar dan manis, Tan berkata rakannya itu sering menjadi tempatnya berkongsi pelbagai perkara dan meminta pertolongan.
“Dia baik hati, bersemangat tinggi dan penyayang. Dia ibarat anggota kelurga saya sendiri,” kata Tan.
Elaine, yang berasal dari Pulau Pinang, dan Mahler, warganegara Belanda, kedua-duanya berusia 27 tahun, tinggal di Melbourne dan bertugas dalam bidang kewangan. Pasangan yang mula menjalin ikatan pada 2012 ini bercuti di Portugal dan Belanda sebelum menaiki Penerbangan MH17 pada tengah hari Khamis dari Amsterdam ke Kuala Lumpur.
Hingga kini, laman Facebook Elaine dan Mahler dibanjiri mesej oleh anggota keluarga dan rakan mereka untuk mengucapkan takziah tentang pemergian pasangan itu.
Tulisan terbaru dalam Facebook Elaine berbunyi: “Pergimu terlalu awal, antara manusia paling baik, mesra dan berhemah yang pernah saya jumpa. Wanita yang tidak lokek dengan senyuman dan berjiwa besar.”
Rakan Mahler bernama Jee Wok Jung pula menulis dalam laman Facebooknya: “Kami akan amat merinduimu. Lelaki yang amat baik, kami tidak akan lupa semua saat indah ketika bersamamu dulu. Tenanglah kamu di sana, duhai sahabat!”
Sementara itu, saudara lelaki Elaine bernama David Teoh menulis dalam laman Facebooknya: “Walaupun kami faham terdapat pelbagai pendapat dan komen tentang MH17, tetapi saya meminta semua kawan saya supaya terus bersikap bijak dan tenang apabila membicarakan tentangnya dan berdoalah untuk keluarga saya ketika kami menghadapi detik-detik yang mencabar ini. Doa dan ingatan anda amat kami hargai.”
Pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17, yang membawa 298 penumpang dan anak kapal, terhempas di timur Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur pada Khamis. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment