Sunday, 27 July 2014



TENGGILING gergasi di Brazil dilaporkan membunuh dua pemburu dalam dua insiden berasingan, mencetuskan kebimbangan mengenai kehilangan habitat haiwan terbabit dan risiko bahaya yang semakin bertambah dihadapi manusia, kata penyelidik.

Mamalia yang berhidung panjang dan berbulu itu biasanya tidak bertindak agresif terhadap manusia dan disifatkan oleh Kesatuan Antarabangsa Bagi Pemuliharaan Alam Sekitar (IUCN), sebagai sejenis spesis yang amat sensitif berikutan pemusnahan hutan dan pendudukan manusia yang menceroboh wilayah mereka.

Mempertahankan diri

Bagaimanapun haiwan itu mempunyai pandangan yang lemah dan jika dalam keadaan takut akan mempertahankan diri dengan kuku yang panjang sepanjang pisau poket.

Kajian kes membabitkan serangan membawa maut oleh tenggiling gergasi itu disiarkan dalam jurnal Wilderness and Environmental Medicine, yang disiarkan di internet bulan ini, menjelang penerbitan isu bercetaknya pada Disember.

“Kedua dua mangsa adalah petani, mereka berburu dan diserang oleh haiwan yang mungkin cedera atau ketakutan ini,” kata ketua penulis, Vidal Haddad, dari Sekolah Perubatan Batocatu, Universiti Sao Paolo.


Kes pertama membabitkan seorang lelaki berusia 47 tahun yang berburu dengan dua anak lelakinya dan anjing mereka apabila mereka bertemu dengan seekor tenggiling gergasi di utara Brazil.

Tenggiling terbabit menggunakan kuku panjangnya yang ditusuk ke peha mangsa dan juga bahu mangsa menyebabkan pemburu terbabit mati di tempat kejadian akibat pendarahan yang teruk, kata laporan yang memetik kejadian itu berlaku 1 Ogos 2012 tetapi tidak pernah didedahkan sehingga sekarang.
Categories:

0 comments:

Post a Comment

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!