KUALA LUMPUR – Jenazah mangsa pesawat Malaysia Airlines (MAS) Penerbangan MH17 yang beragama Islam, masih perlu dimandikan terlebih dahulu sebelum dilaksanakan solat jenazah ghaib.
Bekas Mufti Pulau Pinang Datuk Hassan Ahmad berkata sekalipun tidak dapat dibezakan sama ada mangsa beragama Islam atau tidak, namun soal mandikan jenazah tetap perlu dilakukan terlebih dahulu.
“(Selepas mandikan jenazah) barulah boleh dilakukan upacara solat jenazah ghaib,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau berkata sekiranya jenazah itu tidak dapat dimandikan, maka ia akan disembahyangkan jenazah seperti biasa.
Pesawat MH17, yang membawa 283 penumpang dan 15 anak kapal, terhempas di Ukraine ketika dalam penerbangan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur Khamis lepas.
Penerbangan itu berlepas dari Amsterdam pada 12.15 tengah hari (waktu Netherlands) Khamis dan dijadualkan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa KL pada 6.10 pagi (waktu Malaysia) Jumaat.
Sementara itu, beberapa ketua agama turut menggesa kalangan rakyat Malaysia menzahirkan kesepakatan dengan bersama-sama berdoa bagi kesejahteraan keluarga dan mangsa pesawat Malaysia Airlines penerbangan MH17.
Ketua sami Buddhist Maha Vihara Venerable Datuk K. Sri Dhammaratana Maha Thera berkata rakyat Malaysia perlu terus bersatu dalam mengutuskan doa kepada keluarga mangsa dan mereka yang menanggung penderitaan berikutan tragedi ini.
“Tragedi ini dan beberapa perkara yang berlaku di negara ini sejak akhir-akhir ini amat mendukacitakan. Usahlah kita membenci sesiapapun atas perkara yang berlaku.
Ayuh kita bersatu dan berdoa selain mengekalkan keamanan serta keharmonian di negara ini dan di dunia,” katanya kepada Bernama.
Sambil menggesa rakyat Malaysia agar menggalakkan perpaduan dan keharmonian dalam semangat 1Malaysia, beliau berkata Buddhist Maha Vihara akan menganjurkan upacara sembahyang besar-besaran tidak lama lagi.
Presiden Malaysia Hindu Sangam Datuk R.S. Mohan Shan berkata banyak peristiwa buruk melanda negara ini sejak awal tahun ini.
“Marilah kita mendoakan agar negara ini terus makmur dan dijauhi daripada terus dilanda tragedi,” katanya. – BERNAMA
0 comments:
Post a Comment