RAMALLAH – Bedah siasat awal mendapati mayat remaja Palestin yang dipercayai diculik dan dibunuh pelampau Yahudi menunjukkan mangsa dibakar hidup-hidup, peguam negara Palestin dipetik sebagai berkata.
“Punca kematian adalah terbakar dan komplikasinya,” kata Mohammed Al-A’wewy dipetik sebagai berkata oleh agensi berita rasmi Palestin, Wafa, lewat kelmarin.
Ketegangan Israel-Palestin memuncak mendadak selepas tiga remaja Israel diculik pada 12 Jun dan kemudian ditemui mati di Tebing Barat. Ia diikuti dengan penculikan Mohammed Abu Khudair, 16, Rabu lalu di kawasan penempatan di Baitulmaqdis Timur. Mayatnya yang rentung ditemui beberapa jam kemudian dalam hutan di pinggir bandar raya itu.
Pengarah institut forensik Palestin, Saber Al-Aloul, menghadiri bedah siasat yang dilakukan doktor Israel di Tel Aviv.
Al-A’wewy berkata, Al-Aloul melaporkan debu kebakaran ditemui dalam saluran pernafasan Khudair bermakna mangsa menghidu bahan itu ketika dibakar hidup-hidup.
Kesan kebakaran sehingga 90 peratus dikesan pada mayat. Kepalanya luka. Contoh seperti cecair dan tisu diambil untuk pemeriksaan makmal lebih lanjut untuk melengkapkan laporan perubatan.
Pada majlis pengebumian Khudair kelmarin, penduduk Palestin yang marah melaungkan ‘Intifada! Intifada!’, menggesa kebangkitan baru menentang Israel. Batu dibaling ke arah polis Israel dibalas dengan gas pemedih mata dan peluru getah. – Reuters
0 comments:
Post a Comment