KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Mokhtar Radin mencetuskan kontroversi apabila mengaitkan pasukan Jerman yang membelasah Brazil 7-1 dalam perlawanan separuh akhir bolasepak Piala Dunia 2014 awal pagi tadi dengan Adolf Hitler.
Tidak lama selepas Jerman memalukan pasukan tuan rumah itu yang bermain di hadapan puluhan ribu penontonnya sendiri, Bung Mokhtar menulis seperti ini di akaun Twitternya.
Kenyataan itu mendapat reaksi negatif daripada pengguna Twitter yang lain. Bung Mokhtar bagaimanapun menyelar mereka yang mengkritiknya itu.
Kenyataan itu agak tidak disenangi oleh banyak pengguna Twitter yang merasakan kenyataan itu sebagai mencerminkan tahap pemikiran beliau sendiri.
Beberapa orang pengguna Twitter turut menyebarkan kenyataan Bung Mokhtar itu kepada beberapa akaun Twitter media antarabangsa termasuk BBC, CNN dan AlJazeera.
Kenyataan Bung Mokhtar itu dipercayai bukan satu-satunya komen yang mengaitkan perlawanan separuh akhir itu dengan Hitler.
Seorang pembantu kepada menteri kabinet di Nigeria juga membuat kenyataan dengan nada yang sama tetapi kemudian menariknya balik.
Semakan di Twitter menunjukkan beberapa pengguna Twitter di luar Malaysia turut mengecam dan mengeluh tentang sikap beberapa pihak yang mengaitkan kemenangan Jerman itu dengan Hitler dan Nazi.
Hitler memimpin Nazi antara 1933 hingga 1945 dan bertanggungjawab ke atas pembantaian ke atas jutaan orang Yahudi semasa Perang Dunia Kedua.
Bung Mokhtar jadi ahli parlimen sejak 1999. Ini bukan kali pertama kenyataannya mencetuskan kontroversi. Beliau sebelum ini dikecam kerana membuat kenyataan kurang sensitif tentang wanita, perkauman dan beberapa hal lain. – Astroawani.com
0 comments:
Post a Comment