JIKA disebut perihal zakat, pasti ada saja persoalan yang diajukan mengenainya.
Ia termasuklah sejauh mana ketelusan badan atau institusi yang dilantik untuk menguruskan kutipan zakat mengagihkan wang zakat yang telah dikutip kepada pihak yang sepatutnya menerima.
Selain itu, kerenah birokrasi sehingga menyukarkan fakir miskin memohon untuk menerima bantuan juga pernah timbul.
Persoalan demi persoalan ini diutarakan lantaran masih banyak masalah kemiskinan di kalangan umat Islam di negara yang belum berjaya diatasi.
Terbaru, menerusi portal Ameno World, satu lagi cerita kurang enak timbul mengenai pengurusan duit zakat kepada pelajar-pelajar miskin di Johor.
Alkisahnya, seorang pengadu melaporkan pihak pegawai Majlis Agama Islam Johor (MAIJ) telah membuat pembelian basikal untuk 60 pelajar miskin dengan harga keseluruhan RM30,000.
Justeru, ia bermaksud harga bagi sebuah basikal ialah RM500.
Bagaimanapun, selepas diselidik, harga basikal berjenama Schwin Candy itu hanyalah dalam lingkungan RM190 – RM200.
Hasil tinjauan seorang lagi pengguna Facebook turut menemukan harga seunit basikal yang sama hanyalah RM235.
Persoalannya, bagaimana pihak pegawai MAIJ tersebut boleh mengemukakan harga sehingga RM500 untuk seunit basikal?
Memang agak pelik di situ. Adakah kita perlu bersangka baik dengan mengatakan pegawai MAIJ tersebut ditipu oleh pembekal atau sebagainya?
Apapun, diharap agar pihak pentadbiran MAIJ akan mengambil inisiatif untuk melakukan siasatan mengenai perkara ini bagi mengembalikan kepercayaan orang ramai mengenai ketelusan pengurusan zakat di negara ini. Oleh: ELZA
0 comments:
Post a Comment