Thursday, 3 April 2014

Selamat Omar menunjukkan gambar anaknya Khairul Amri Selamat iaitu penumpang MH370. 
“Saya merayu kepada suspek supaya tidak mengambil tiga pasport milik kami tiga beranak (termasuk suaminya, Selamat Omar, 60) kerana itu dokumen penting untuk memudahkan urusan perjalanan ke luar negara jika ada perkembangan terbaru mengenai kehilangan pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH370.
“Namun, saya tidak sangka rayuan itu diterima suspek sebelum dia menyerahkan semula dokumen berkenaan,” kata Rosila Abu Samah, 50, ibu tiri kepada seorang penumpang pesawat MH370, Khairul Amri Selamat, 29, yang disamun dua lelaki dipercayai warga Indonesia dalam kejadian di FELDA Bukit Mendi, Triang, dekat sini, pagi semalam.
Dalam kejadian jam 4.30 pagi itu, dua penyamun terbabit yang memakai topeng dan bersenjatakan parang melarikan rantai tangan, subang dan wang tunai milik mangsa mengakibatkan kerugian kira-kira RM10,000.

Difahamkan, mangsa tinggal bersama anak perempuannya, Nur Kaiyisah Adibah Selamat, 8, kerana suaminya, Selamat berada di Putrajaya untuk mengikuti perkembangan pesawat MH370 yang dilaporkan hilang sejak 8 Mac lalu.

ROSILA menunjukkan bilik yang berselerak selepas disamun.
Khairul Amri seorang daripada 227 penumpang pesawat MH370 yang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Beijing, China kerana urusan kerja untuk membaiki sebuah jet milik syarikat persendirian di sana.
Mengimbas detik cemas itu, Rosila berkata, dia tersedar daripada tidur selepas lampu biliknya menyala sebelum melihat dua lelaki bertopeng sambil memegang parang berdiri di depannya.

Menurutnya, seorang daripada lelaki itu kemudian mengacukan parang ke arahnya dan meminta dia mendiamkan diri sebelum suspek mengarahkannya supaya menyerahkan rantai tangan serta subang.
Katanya, pada masa sama, seorang lagi suspek dengan rakus menyelongkar almari baju untuk mencari barang berharga sebelum mengambil rantai tangan, subang, wang tunai dan dua telefon bimbit.-Harian Metro
Categories:

0 comments:

Post a Comment

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!