Friday, 29 August 2014



Mexico City – Seorang wanita mengaku menikam seorang ibu yang hamil lapan bulan sebelum membelah perut mangsa untuk mencuri anak dalam kandungannya.

Maria Rodriguez, 29, dari wilayah Tepic, memberitahu polis, dia mengambil keputusan membunuh Nadia Avila dan mencuri bayi yang dikandungnya selepas menipu keluarganya bahawa dia hamil.

Menurut polis, dia kini berdepan dengan tuduhan membunuh bayi berkenaan dan ibunya.

Ketika menceritakan tindakannya itu, Maria berkata, dia mulanya memukul mangsa hingga pengsan selepas mempelawa Nadia ke rumahnya dengan alasan untuk memberikan baju bayi.

“Apabila saya menekup mulutnya, dia menggigit saya. Saya mengikat tangannya ke belakang untuk mempertahankan diri. Tetapi, ketika itu saya belum membunuhnya.

“Dia menjerit, meminta saya membiarkannya. Saya memukulnya lagi hingga dia pengsan.

MARIA mengaku menikam seorang ibu yang hamil lapan bulan sebelum membelah perut mangsa.

“Kemudian saya melondehkan seluarnya dan menikam perutnya.

“Dia bergerak sedikit. Saya membelah perutnya dan mengambil anak itu secepat mungkin kerana tidak mahu dia mati.

“Tetapi saya gagal mengambil bayi berkenaan. Saya melakukannya secara paksa dan berjaya tetapi dia mati,” kata Maria.

Maria memberitahu polis, dia terlalu inginkan bayi, tetapi tidak tahu untuk memberitahu keluarganya yang dia tidak hamil.

“Sebelum ini haid saya lewat dan memeriksa darah, tetapi keputusannya negatif. Saya begitu perlukan anak dan semua anggota keluarga menyangka saya hamil. Tetapi saya hanya memperdayakan mereka dan akhirnya, tidak tahu untuk memberitahu keadaan sebenar.

“Tetapi, apabila melihat Nadia yang sarat mengandung, terlintas di hati saya, inilah peluang saya. Saya tidak mengenalinya langsung dan hanya dua kali melihatnya. “Saya memutuskan untuk mencuri kandungannya,” kata Maria.

Dia ditangkap selepas memanggil pasukan perubatan untuk membawa mayat bayi yang dikeluarkannya dari perut mangsa supaya boleh memberitahu keluarganya bahawa dia keguguran.

“Bagaimanapun, pasukan perubatan mula mengesyaki sesuatu apabila wanita itu tidak membenarkan mereka memasuki rumahnya,” kata jurucakap polis. Maria melarikan diri apabila pasukan perubatan mendesak untuk memeriksanya.

Bagaimanapun, dia berjaya dikesan dan ditahan selepas suami Nadia, Juan Hernandez membuat laporan mengenai kehilangan isterinya. – Agensi

0 comments:

Post a Comment

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!