Monday, 14 July 2014



Penyanyi baru Hanie Soraya Kahar, 20, berharap peminat tidak keliru dengan penampilannya yang ada ketika bertudung dan tidak bertudung.

Bertemu pelantun yang semakin popular namanya menerusi lagu ‘Hingga Hujung Dunia’ ini di Majlis Pelancaran Album ’15 Senandung Aidilfitri’ dan Majlis Berbuka Puasa Warner Music baru-baru ini, gadis yang senang disapa sebagai Hanie ini mengakui sekiranya dia pulang ke Mesir dan menghadiri kuliah, dia akan bertudung. Tetapi jika dia pulang ke sini dan sebagai seorang penyanyi, dia akan tampil dengan imej tidak bertudung.

“Memang kalau saya di Mesir, saya bertudung dan ke kuliah. Sebenarnya pihak universiti tak menetapkan sama ada para pelajarnya wajib bertudung atau tidak. Itu adalah atas pilihan saya sendiri. InsyAllah moga nanti satu hari saya dibukakan hati untuk kekal bertudung.

“Saya rasa soal saya bertudung atau tidak, itu bukan satu masalah besar. Saya harap peminat tak keliru dan dapat menerima saya kerana bakat saya. Sekarang ni pun semakin ramai yang tahu lagu saya. Ia satu petanda baik untuk saya teruskan minat saya dalam bidang nyanyian

“Masa saya mula-mula dengar lagu saya di radio setelah saya pulang ke sini. Masa tu saya sangat teruja dan gembira”, katanya sambil tersenyum.

Hanie yang pulang ke tanah air kerana bercuti sebenarnya merupakan pelajar tahun kedua jurusan kedoktoran Universiti Mensurah, Mesir.


Ditanya mengenai bagaimana dia membahagikan masa antara kerjaya nyanyiannya serentak dengan kini menyambung pelajaran di luar negara, kata Hanie, tidak dinafi ia satu tanggungjawab yang sangat berat untuk memastikan dia mendapat kejayaan pada kedua-kedua bidang yang diceburinya ini.

Namun Hanie yakin dia dapat membahagikan masa dengan baik dan dia lebih mengutamakan pelajaran.

“Saya nak berjaya dalam dua-dua bidang, doktor yang menyanyi, kenapa tidak? Kan. Saya rasa saya oleh bagikan masa dengan baik. Tapi apa pun saya akan tetap mendahulukan pelajaran. Saya berazam untuk menamatkan pelajaran saya”, katanya yang mula melangkah kedunia seni selepas menghadir satu ujibakat yang dilakukan oleh penyanyi Faizal Tahir, kira-kira tiga tahun lalu.

Jelas Hanie lagi, menerusi ujiakat tersebut dia kemudiannya dilamar bernaung dibawah naungan syarikat penyanyi berkenaan iaitu, Faithful Music

“Sebenarnya penglibatan saya dalam dunia seni ini tidak pernah dirancang. Selepas tamat peperiksaan SPM (Sijil Pelajaran Malaysia), saya hanya duduk di rumah dan ada banyak masa terluang.

“Ketika itu ibu saya memaksa saya untuk menghadiri satu uji bakat yang dilakukan oleh Faizal Tahir. Sebenarnya saya cukup berat untuk menghadiri sesi uji bakat itu. ?Namun rezeki saya apabila saya diterima menjadi penyanyi naungan syarikat beliau”, ujarnya yang akan pulang semula ke Mesir selepas Hari Raya Haji nanti.

Suara Macam Amy Mastura

Jika sekali dengar lagu yang dinyanyikan oleh Hanie, suaranya ia tak ubah seperti suara penyanyi Amy Mastura. Mengulas mengenai perkara itu, Hanie berkata dia berasa berbesar hati jikalau suaranya di samakan dengan Amy.

“Saya ada dengar juga ramai yang berkata begitu. Bagi saya, saya berbesar hati sebab Amy Mastura antara penyanyi kegemaran saya dan saya memang membesar dengan lagu-lagu dia.

“Tapi saya juga berharap agar saya dapat dikenali dengan identiti saya sendiri”, katanya yang juga memberitahu bakal merakamkan single terbbaru dalam masa terdekat ini. – Malaysian Digest
Categories:

0 comments:

Post a Comment

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!