Wednesday, 25 June 2014




Saksi pendakwaan perbicaraan, kes bunuh Norazita Abu Talib memberitahu mahkamah bahawa tertuduh Ode Ardi Rasilla, 36, bertanyakan soalan yang pelik sebelum bertindak menembak mangsa menggunakan senjata pump-gun.

Seorang kakitangan Ambank, Ifasri Wahyuni Mansur, 21, berkata mangsa juga ada bergerak dan berpusing ke arahnya sebelum rebah akibat ditembak, memetik laporan Harian Metro.

“Kak Ita (Norazita Abdul Talib) bergerak dan berpusing ke arah saya sebelum rebah,” katanya memberi keterangan dalam perbicaraan kes berkenaan yang berlaku pada 23 Oktober tahun lepas.

Menurut Ifasri Wahyuni, pada petang sebelum kejadian, hanya ada empat kakitangan bank di dalam premis itu iaitu Arzanna Abdullah (Kak Ana), Norazita (Kak Ita), Laila Azwa dan seorang pengawal keselamatan iaitu tertuduh La Ode.

“Tertuduh datang ke kawasan mesin fotostat di bahagian belakang bank dan bertanyakan soalan yang pelik.. Dia bertanya, bila saya mahu pulang dan dan sama ada lama lagi hendak siap kerja kerana dia (La Ode) ada perkara perlu dilakukan.

“Tidak lama kemudian saya mendengar bunyi kuat dan nampak asap keluar ketika sedang melakukan pemfailan di kaunter operasi.


“Saya pusing ke belakang dan nampak Kak Ana terjatuh dekat pintu bilik simpanan wang, dia minta saya untuk tengokkan Kak Ita yang sudah terbaring, tetapi tertuduh mengacukan pump-gun dan arahkan saya masuk semula ke kaunter operasi,” katanya.

Ifasri Wahyuni memberitahu mahkamah selepas mengikut arahan tertuduh masuk ke kaunter operasi, Arzanna sekali lagi memintanya melihat keadaan Norazita.

“Ketika itu saya sekali lagi masuk ke bilik simpanan dan melihat La Ode mengambil beg hitam dan ‘pump gun’ sebelum beredar

“Ketika itu saya lihat Kak Ita masih bergerak. Dia berpusing ke arah saya dan Laila Azwa sebelum rebah dan tidak bergerak lagi,” katanya yang juga saksi kesembilan pendakwaan.

Perbicaraan kes berkenaan sudah pun bermula kelmarin dan ditetapkan selama lima hari sehingga 28 Jun di Mahkamah Tinggi Shah Alam.

Allahyarham Norazita ditembak dari jarak dekat oleh tertuduh sehingga berkecai sebahagian wajahnya dan visual itu berjaya dirakamkan kamera litar tertutup (CCTV) bank berkenaan pada hari kejadian

Oleh : IBNU KHUSAIRY ARIS
Categories:

0 comments:

Post a Comment

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!