1. Dalam kejadian contoh adik Firdaus, OKU yang ditemui dalam keadaan yang sangat menyayat hati kita baru-baru ini, si ibu adalah penjaga kepada mangsa secara keseorangan, selama hampir 15 tahun sebelum dunia mengetahuinya.
Secara biologinya, wujud tekanan kepada si ibu untuk menggalas beban itu, hari demi hari, selama hampir 15 tahun, dalam keadaan persekitaran yang sukar, dan secara keseorangan. Namun, secara prinsipnya, sebarang kezaliman walau berlaku kerana apa juga alasan, patut dihukum.
Di sinilah wujudnya perbahasan, apakah tujuan sebenarnya hukuman? Membalas dendam? Membetulkan keadaan? Memburukkan keadaan? Menghalang orang lain melakukan keasalahan yang sama? Atau apa? Inilah perkara yang manusia terlepas fikir. Dan diburukkan lagi dengan keadaan, buat masa ini, di Malaysia, pembuat / pelulus hukuman dipilih oleh rakyat berdasarkan jenama parti, populariti isu dan sentimen perkauman, bukan ideologi.
Tahukah kita kini si ibu berdepan dengan 2 pertuduhan. Pertama DENDA sehingga RM20 ribu atau PENJARA sehingga 20 tahun? Hukuman kedua pula ialah DENDA RM5 ribu atau PENJARA sehingga 5 tahun?
Apakah tujuan hukuman denda wang kepada orang miskin yang mengalami tekanan dalam sosial masyarat pincang pelbagai tajuk? Dari segi agihan zakatnya, dari segi masyarakat yang diajar buta untuk mencari asnaf sendiri, dari segi ketirisan ekonominya, dari segi kakitangan Jabatan Kebajikan diambil berdasarkan temuduga tiada peluang kerja kerajaan yang lain, bukan kerana minat atau jati diri aktivisme dan sebagainya.
Apakah tujuan hukuman penjara kepada si isu (penjaga) yang mempunyai anak lain? Memisahkan si ibu dengan anak lain atau memaksa si anak lain masuk penjara kerana memerlukan jagaan si ibu.
2. Begitu juga dalam kejadian contoh OKU wanita di Tumpat. Setelah si ibu meninggal dunia, si abang yang mempunyai tanggungjawab sendiri menanggung beban menjaga si adik. Ini bukan tekanan sehari. Ini tekanan bertahun-tahun. Sekali lagi, prinsipnya setiap kezaliman perlu dihukum. Soalnya apakah tujuan hukuman? Dari sinilah penentapan bentuk hukuman dibahaskan.
3. Dicadangkan, penjara adalah hukuman kepada kesalahan yang memudaratkan secara langsung kepada sosial (masyarakat) seandainya pesalah tidak dipenjara. Contohnya pengedaran senjata api, dadah, penculikan dan sebagainya.
Bagaimanapun, tetap terdapat masalah melibatkan orang yang tidak berdosa apabila satu-satu individu dipenjara terutama yang dipenjara belasan tahun. Yakni anak tanggungan kepada pesalah.
Dalam Islam, kesalahan rompak yang cukup syarat, hukumnya potong tangan, pulang ke rumah dan meneruskan tanggungjawab keluarga seperti biasa. Peristiwa hukuman itu sahaja yang meninggalkan kesan kepada sosial. Bagaimanapun, perbahasan melaksanakan ini sangat panjang dan komplek.
Dicadangkan, buat masa ini, kerajaan membuat satu dasar wajib kepada kilang-kilang pembuatan / perlombongan / perladangan besar untuk menerima pesalah hukuman penjara yang lama, sebagai pekerja di bawah pengawasan pihak penjara. mungkin 10 pesalah untuk satu kilang, di bawah pengawasan 2-3 pegawai. 90% gajinya dikirim ke anak tanggungan. Manakala 10% bersama intensif imbuhan kelakuan baik diserahkan pada hari bebas hukuman sebagai permulaan kehidupan.
4. Kesalahan seperti contoh 1 dan 2 di atas pula, dan bagi kesalahan pertama, mewajarkan pesalah dihukum kerja-kerja sosial / kebajikan mengikut jumlah jam, diwajibkan proses kaunseling secara berkala beberapa tahun dengan dipermudahkan bantuan melalui permohonan pihak kaunselor. Wallahualam.
30 Jun 2014
Khairul Nizam Abd Ghani (gambar di atas)
Ahli Perwakilan Negeri Kelantan
Parti Sosialis Malaysia
0 comments:
Post a Comment