Tuesday, 25 March 2014


KUALA LUMPUR: Penemuan kotak hitam mungkin tidak akan memberi jawapan yang menjelaskan mengapa pesawat Malaysia Airlines MH370 bertukar arah ke Lautan Hindi walaupun ia dapat djumpai, menurut pakar penerbangan.



Ini berdasarkan perakam suara kokpit di dalam kotak hitam yang hanya dapat merakam perbualan dua jam terakhir penerbangan, kata syarikat perundingan penerbangan Amerika Syarikat Leeham Co.

Ini bermakna perbualan penting ketika pesawat berpatah balik berhampiran Malaysia dan Vietnam mungkin tidak dirakam.

“Apa yang berlaku di ruang udara Teluk Thailand tidak akan didedahkan kerana akan diganti dengan rakaman pada penghujung penerbangan MH370,” menurut ulasan syarikat itu.

Tambah Leeham lagi, rakaman terakhir itu juga mungkin tidak mempunyai maklumat penting yang dapat diguna oleh penyiasat terutamanya jika ia dipercayai kehabisan minyak atau terhempas ke dalam air.

Sementara itu, pakar penerbangan Britain Chris Yates berkata, soalan mengapa pesawat tidak mengikuti laluan asal mungkin tidak akan terjawab dengan penemuan kotak hitam itu.

“Kami masih tidak dapat mengetahui keadaan mental juruterbang dan penolongnya ataupun jika pesawat itu dirampas pihak ketiga,” katanya kepada BBC.

“Tiada sesiapa yang mengaku bertanggungjawab sejak kejadian ini berlaku.” Analisis data satelit terbaru memberi petunjuk pesawat itu dikesan kali terakhir di selatan Lautan Hindi tetapi lokasi tepat belum diperoleh lagi.

Beberapa puing dikesan di kira-kira 2,500 kilometer di barat daya Australia tetapi objek tersebut belum dapat ditemui pasukan pencari antarabangsa setakat ini.

Bateri yang menguasakan isyarat lokasi kotak hitam juga akan bertahan kurang dua minggu lagi.

Alat pengesan daripada Amerika Syarikat akan dihantar ke kawasan pencarian tetapi cuaca dan keadaan laut tidak sesuai telah menghalang usaha menentukan lokasi kotak hitam. - AFP
Categories:

0 comments:

Post a Comment

Subscribe to RSS Feed Follow me on Twitter!